|
|
|
|
Harap maaf!!! Laman ini telah di pindah ke laman yang lain dibawah geocities atas sebab yang tidak dapat di elakkan. Oleh itu, anda bolehlah lawat ke www.geocities.com/ijatonline/index.htm untuk mendapatkan data-data atau maklumat homepage ini secara lebih tepat dan terperinci
Barua Oh Barua! Oleh
litmohd Setelah perkataan ‘Shit’ iaitu kata yang
diambil dari jodol novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad begitu hangat
diperkatakan suatu ketika dulu kerana di popularkan oleh media massa sehingga novel
tersebut diulang cetak beberapa kali, kini timbul satu lagi istilah yang
sedang dipopularkan oleh pihak yang sama iaitu ‘barua’. Barangkali inilah ungkapan yang boleh dinobatkan sebagai yang paling popular setakat ini di alaf baru ini. Syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencetuskan kata tersebut. Itulah kehebatan seorang ulamak. Sebiji katanya boleh menggegarkan seluruh Malaysia! Ia mengejutkan rakyat yang sedang lena bahawa sebenarnya memang terdapat begitu banyak barua-barua di sekeliling mereka yang boleh menggugat keharmonian kehidupan mereka. Kata-kata Nik Aziz tepat kena pada sasarannya. Memang benarlah, nak berjihad di Malaysia ni buat masa ni tak payah pakai pedang. Dengan melontarkan kata-kata sudah cukup memberi pukulan dan memeningkan kepala puak-puak sekular tersebut. Tahniah juga pada TV1 yang turut memberi definisi tepat perkataan ‘barua’ yang diambil dari Kamus Dewan dan dihighlight pula di kaca TV, iaitu ‘barua’ ialah orang perantaraan yang digunakan untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat. Kenyataan Dr. Abdul Hamid Zainal Abidin, yang menyerahkan isu tersebut pada rakyat untuk membuat penilaian bukanlah satu tindakan yang popular. Rakyat yang mempunyai berbagai persepsi terhadap kerajaan tidak seharusnya dibabitkan dalam isu ini. Beliau seharusnya berfikir sendiri, cermin diri sendiri, nilai diri sendiri, menyelami apa sebenar yang berlaku, seterusnya menerima realiti. Kalau ia di pihak yang benar ia hendaklah mempertahankan diri sendiri atau jika perlu membuat serangan balas kepada pihak terbabit. Dalam politik sekular yang diamalkan oleh BN/Umno ternyata berlaku berbagai pekerjaan jahat seperti mencantas, merasuah, menfitnah, menutup penyelewengan dan kemaksiatan sehinggalah kejahatan yang paling jahat iaitu membunuh. Ini adalah senario yang berlaku dalam parti Umno malah dilakukan juga ke atas rakyat dan juga parti pembangkang demi survival parti sekular mereka. Strategi Dr. Mahathir menjatuhkan Timbalannya, Sdr Anwar Ibrahim adalah satu kejahatan yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah politik tanah air. Walaupun mahkamah telah membuat keputusan namun ia terus menjadi isu bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa. Rakyat telah mengenali ramai ‘barua-barua’ yang telah ‘dibaruakan’ yang begitu licik menjalankan peranan masing-masing bagi menjatuhkan Anwar Ibrahim. Adalah perkara biasa dalam setiap pilihanraya barua-barua parti BN dan Umno khususnya akan melakukan kerja-kerja yang tidak demokratik demi mencapai kemenangan . Dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan baru-baru ini yang menjadi memori segar pada penulis kerana ia berlaku di tempat penulis sendiri, bagaimana begitu banyak barua-barua di hantar untuk menjayakan operasi dan misi mereka. Mereka merasuah, mengugut dan mencetuskan pergaduhan. Barua-barua samada lelaki atau wanita ini memang tidak malu kerana mereka semua mendapat upah dan dilindungi pula oleh ramai ketua-ketua yang menjadi ketua segala barua-barua ini! Kalau di Perlis ni orang sangat kenallah ketua segala barua tersebut. Di dalam penulisan media mereka juga terdapat seorang barua yang mendapat jawatan barua tetap dan berpencen di dalam ruangan agamanya yang kerja utamanya ialah meyanggah apa saja yang dicakap oleh pemimpin PAS. Ia akan mencari apa saja yang diucapkan oleh pemimpin PAS, iaitu setiap kata yang disebut yang boleh diolah, lalu dikritiknya dengan menggunakan hujah-hujah yang stereotype. Stereotype bermaksud suatu tanggapan yang biasa atau normal, justeru ia menyimpang dari ciri-ciri keintelektualan. Maksud di sini , Astora Jabat dalam perbahasannya hanya pandai bermain kata-kata dan bahasa secara membuat perbandingan lateral atau dikatakan menggunakan akal logik semata-mata, tanpa melihat ucapan seseorang itu dalam konteks yang lebih luas. Ini serupalah bagaimana TV1 mensensasikan kata ‘barua’ yang diucapkan oleh Nik Aziz. Dalam tulisan Astora di Mingguan Malaysia baru-baru ini dalam kes tuduhannya mengatakan Nik Aziz berkata Tuhan samseng, setelah memetik ucapan Nik Aziz, beliau (Astora) sendiri mengakui bahawa tujuan atau maksud sebenar Nik Aziz dalam menghuraikan makna nama Tuhan, Al-Jabbar dan Al-Mutakabbir itu adalah semata-mata nak mengambarkan betapa Tuhan melebihi segala-galanya dari manusia. Astora sudah pun faham dan inilah juga yang difahami oleh hadirin yang mendengar ceramah Nik Aziz tersebut. Ia tidak lebih dari itu. Tetapi oleh kerana Astora telah menjadi penulis ‘barua’ yang telah dibaruakan oleh kepala baruanya, maka itulah cara ia membuat ulasan terhadap ceramah-ceramah PAS.
Kesimpulannya, untuk menceritakan kisah barua ini memang banyaklah sebab ia adalah realiti yang berlaku di negara kita dan telah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Sebab itulah timbul banyak peribahasa Melayu berkaitan barua ini seperti api dalam sekam, gunting dalam lipatan, duri dalam daging, telunjuk lurus kelingking berkait dan lain-lain lagi. Semua peribahasa ini adalah berkaitan dengan peranan seseorang manusia jahat yang dikatakan menjadi ‘barua’. Oleh yang demikian ‘barua’ adalah perkataan biasa yang kadang kala wajar disebut bagi mendedahkan realiti kehidupan masyarakat yang sebenar. Walaupun ia dikategorikan sebagai kata makian dalam Kamus Dewan, namun kata tersebut begitu bererti diucapkan dalam konteks sekarang dibandingkan dengan perkataan ‘liwat’ dan berbagai perkataan lagi yang berkaitan dengannya yang tanpa segan silu diucapkan oleh kepala segala barua suatu ketika dulu kerana perkataan tersebut lebih jijik untuk didengar.
Dari aspek dakwah pula, memanglah berdakwah hendaklah dengan hikmah. Hikmah ni pada pandangan penulis luas maknanya. Ada kalanya lembut dilawan dengan lembut. Itu biasalah. Ada kalanya lembut di lawan dengan keras, atau keras di lawan dengan lembut atau keras di lawan dengan keras. Semuanya adalah hikmah. Semuanya bergantung pada situasi dan realiti semasa. Semuanya berlaku dalam sejarah! Apalagi di dalam pertarungan politik yang penuh dengan tipu muslihat. Kata ‘barua’ adalah manisfestasi daripada sepak terajang politik yang didukungi oleh puak-puak politik sekular tersebut yang mungkin tersentak kerana ia jatuh di atas batang hidung mereka.
Justeru itu mereka tidak mahu orang agama masuk politik dengan menuduh ulamak-ulamak ini menggunakan ugama untuk kepentingan poltik. Sebenarnya merekalah yang menggunakan ugama untuk politik dengan membenarkan individu-individu kelulusan ugama menyertai mereka untuk hanya sebagai pak turut kepada mereka. Ini dinamakan pragmatisme kerana mereka tak boleh elak daripada rakyat yang mahukan agama. Jadi kalau nak dijadikan sesuatu isu pun eloklah diselidiki dulu. Ilmiahlah sikit. Kat media masa samada surat khabar atau tv tu semua orang berpendidikan tinggi belaka. Kalau belajar di universiti, setiap suatu isu atau masalah yang wujud itu yang pertama sekali perlu dilakukan ialah mengenal pasti punca timbul masalah atau isu tersebut, iaitu dalam kes ini mencari punca macam mana boleh timbul kata ‘barua’ ini. Kalau sekadar kata ia berpunca dari ucapan Nik Aziz, itu belum lagi jumpa puncanya. Sudah tentu ada punca yang lebih besar menyebabkan terkeluar kata tersebut dari mulut Nik Aziz. Jadi mencari punca inilah yang sepatutnya dibuat oleh media dan difikirkan oleh orang ramai. Dr. Mahathir pun dalam memperkatakan isu keganasan meminta semua pihak terutama Amerika supaya mencari punca sebab berlakunya keganasan sebab di dalam pemikirannya keganasan tercetus di dunia kerana sikap double standard Amerika (Tetapi tidak pula di dalam negaranya. Di Malaysia siapa yang menentangnya samada dari dalam parti atau apa lagi pembangkang kerajaan, akan terus dicantasnya, tanpa mencari punca kenapa orang menentangnya. Ini lagi bapak double standard!) Tak payahlah nak ambil kesempatan dengan perkataan tersebut yang kebetulan diluah oleh seorang ulamak dengan menemuramah sesetengah orang awam di tepi jalan yang dangkal pemikiran untuk mengutuk ulamak tersebut. Itu pun di dalam temuramah tv 1 tu saya tengok ada yang kata, barua tu ialah orang yang jadi pak turut atau dipergunakan ...nah sekarang siapa yang terkena. Sebab masyarakat yang celik maklumat akan berfikir dan berkata mengikut realiti yang berlaku. Itu sebab kita katakan apa saja isu yang dimainkan oleh TV1 itu memakan dirinya balik. Ini termasuklah isu Memali dan Amanat Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. |